Oleh : kamarun_kh

Sebaik sahaja selesai sholat Jumaat di Masjid Mujahidin dan makan tengah hari di salah sebuah restoran Nasi Padang, kami memulakan ‘pencarian jejak’ yang masih tersimpan di Istana Kesultanan Siak. Istana yang tersergam indah itu dijaga dengan baik, dan setiap orang yang masuk ke dalamnya diminta membayar tiket.

Saya tidak pasti berapa bayaran masuk untuk kami kerana semuanya telah diuruskan oleh Pak Imran. Saperti bayaran penginapan kami di Pekan Baru, ditempah oleh warga tempatan, harga bilik adalah lebih murah berbanding kadar yang dikenakan kepada pelancong bukan rakyat tempatan.

Jarak antara pintu masuk dengan tempat jualan tiket sekitar 150 meter, dan terletak di sebuah bangunan kecil di seberang jalan. Saya tidak menjangkakan bahawa ‘bangunan kecil’ itu adalah pejabat tiket kerana di sekelilingnya kedapatan beberapa pokok hiasan yang dicat dengan warna kuning di pertengahan batang. Pada mulanya saya ingin tahu, ‘kenapa pokok itu dicat saperti itu’ tetapi, akhirnya saya melupakan pertanyaan itu apabila terasa bahang mentari tengah hari begitu panas dan terik sekali. Sebenarnya, kami mahu cepat-cepat ‘ke dalam istana’ kerana suasananya agak tenang, teduh dan mungkin menyegarkan.

Setelah melangkah masuk, kami diberitahu bahawa artifek yang tersimpan di sini sebahagiannya telah pudar, termasuk gambar-gambar penting akibat ‘terdedah dengan cahaya’ terlalu lama. Bangunan istana ini tidak memiliki penghawa dingin, dan setiap jendela yang ada terbuka luas untuk mendinginkan iklim bahagian dalam, dan ternyata saya cukup terasa ‘berdiri di tingkap’ di tingkat atas.

Pada mulanya saya ingin bertanyakan sesuatu kepada salah seorang ‘kakitangan istana’ yang berpakaian lengkap baju Melayu putih yang sedang ‘mengambil angin’, tetapi oleh kerana kakitangan itu sedang leka bermain telefon bimbit, saya hanya berkata: Patutlah kamu hanya di sini, anginnya lumayan sekali.

Dia tersenyum malu dan cuba menerangkan sesuatu apabila saya menjengok ke luar tingkap. Diberitahu bahawa kapal yang ada di belakang istana itu adalah kapal ‘kerajaan Siak’ yang pada suatu ketika diapungkan setelah beberapa lama tenggelam. Kapal itu kemudiannya diletakkan di situ sebagai sebahagian daripada sejarah Siak.

Dia juga cuba memberitahu bahawa di belakang istana ini mempunyai dua buah sumur tetapi telah dibina semula bagi mengelakkan lebih banyak kecelakaan. Tebing sumur yang rendah telah ditinggikan. Antara dua sumur yang ada, satu darinya masih digunakan kerana airnya jernih manakala yang satu lagi, yang terletak di hujung kiri pagar istana adalah lebih kecil dan airnya sedikit keruh.

‘Kenapa gambar-gambar begitu pudar?” Tanya saya.

“Ya! Terlalu lama dipamerkan. Mungkin apabila siapnya bangunan di bahagian belakang dalam beberapa tahun nanti akan dipamerkan lebih banyak artifek,” katanya.

“Oh! Bererti saya harus ke sini lagi apabila ruang pameran baru siap,’ tukas saya dengan sedikit pandangan sinis.

Pemuda itu hanya tersenyum dan bersedia membawa saya untuk terus meneroka lebih banyak artifek di bahagian atas. Saya dibawa ‘mengembara’ dari satu bilik ke satu bilik yang menempatkan pelbagai bahan sejarah Kesultanan Siak sehingga saya terpaku kepada sekeping potret Sultan Syarif Kassim II bersama isterinya. Sultan Syarif Kassim II merupakan Sultan Siak yang terakhir.

Sultan Syarif Kassim II atau juga dikenali sebagai  Yang Dipertuan Besar Syarif Kasim Abdul Jalil Saifuddin. Baginda diputerakan pada 1 Disember 1893 (11 Jamidul Awal 1310 H). Ketika berumur 23 tahun, baginda ditabalkan sebagai Sultan Siak ke-12. Ayahanda baginda, Sultan Asysyaidis Syarif Hasyim Abdul Djalil Syaifuddin manakala bondanya bernama Tengku Yuk.

Sultan Asysaidis Syarif Hasyim Abdul Jalil Syaifuddin memerintah Siak selama 19 tahun (1889 hingga 1908).  Salah seorang saudara Sultan Syarif Kassim II bernama  Tengku Long Putih berlainan ibu menetap di Singapura hingga akhir hayat, yang kelak bermastautin di Singapura hingga akhir hayatnya. Sultan Syarif Hashim mangkat di Singapura pada 2 April 1908.

Di Istana Asserayah Hasyimiah turut menyimpan barangan lain saperti tembikar, buyong dan juga peralatan yang digunakan seharian yang setiap satunya diberikan tag nama. Bagaimanapun, kakitangan yang ‘bersedia menjawab’ pertanyaan tidaklah begitu banyak atau memadai untuk menjawab beberapa soalan saya kaitannya barangan itu dengan lain-lain persekitaran dagangan yang muncul ketika itu.

Misalnya, apabila soalan saya mengenai salsilah kerajaan Siak dengan Palembang tidak banyak yang boleh diceritakan. Ini mungkin disebabkan pengetahuan sejarah tidak lengkap mahupun ketiadaan bahan rujukan yang baik tersimpan di Istana Matahari Timur itu. Saya juga gagal untuk mengesan lebih mendalam perjalanan sejarah Siak daripada artifek yang tersimpan apabila huraian ringkas dan memadai tidak ada.

Akhirnya, saya mencadangkan kepada petugas agar diadakan ruangan pameran buku-buku sejarah berkenaan Kesultanan Siak, yang mungkin dapat membantu ‘pelancong’ untuk memahaminya dengan lebih baik. Buku-buku tersebut mungkin telah pun ada, tetapi lebih menarik sekiranya diadakan ruangan kecil di sudut luar Istana Matahari Timur yang kukuh berdiri itu gerai jualan. Boleh sahaja dijual buku-buku yang berbentuk popular mahupun kajian ilmiah secara khusus Kesultanan Siak ataupun Sejarah Siak secara amnya.

Petang itu, saya tinggalkan Istana Matahari Timur dalam pelbagai pertanyaan yang memerlukan saya terus mencari jawapannya dalam pelbagai bentuk, tekun melayari internet mahupun menyelidiki bahan-bahan yang pernah dilakukan ke atas period sejarah yang penting.

 

Menjejak Kesultanan Siak Sri Indrapura – Satu Kajian Part II