Ibadah haji seringkali dikatakan sebagai panggilan atau jemputan untuk mengunjungi Rumah-Nya. Ia mengisyaratkan bahawa semua manusia telah mendapat panggilan dan semua dituntut untuk memenuhinya, terutama bagi mereka yang berkemampuan. Bagi yang mampu memenuhi panggilanNya, bererti ia telah membawa bekal yang mencukupi. Begitu besar makna ibadah haji, sehingga Allah s.w.t menetapkan hari kesepuluh bulan haji sebagai Hari Raya Besar, Aidiladha, Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji bagi seluruh umat Islam.

Perjalanan haji disebut juga perjalanan memenuhi panggilan Nabi Ibrahim a.s. Allah s.w.t memerintahkan Ibrahim a.s dan puteranya, Ismail, membangunkan kembali Kaabah. Setelah mereka membersihkan tempat ibadat itu, Allah s.w.t memerintahkan pula Ibrahim a.s untuk menyeru manusia agar mengerjakan haji. Hakikatnya, amalan-amalan ibadah haji banyak berasaskan pengalaman Nabi Ibrahim a.s dan keluarga Baginda. Panggilan atau seruan Ibrahim a.s itu diteruskan pula oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Wahai manusia, Allah telah mewajibkan kepada kamu untuk melaksanakan haji. Kamu harus melaksanakannya.” (Riwayat Muslim)

Haji adalah ibadah, namun ramai di kalangan kita yang masih jahil dan tidak memahaminya melebihi makna keagamaannya. Walhal, semua ibadah dalam Islam baik haji, puasa, solat, dan zakat yang bercirikan unsur atau nilai keagamaan, juga berkaitan dengan keduniaan. Ini adalah salah satu ciri khas Islam sebagai agama yang meletakkan tidak ada pemisahan antara urusan keagamaan daripada urusan keduniaan.

Dalam surah Al-Hajj, ayat 27 dan 28 dijelaskan bahawa ibadah haji antara lain adalah untuk menyaksikan manfaat-manfaat dan menyebut nama Allah ke atas rezeki yang diberikannya kepada orang beriman. Manfaat-manfaat yang dimaksudkan itu menurut para mufasir sebagai manfaat dunia dan akhirat, iaitu segala manfaat yang berguna untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

Menyebut nama Allah ke atas rezeki berupa binatang ternakan di dalam ayat di atas merupakan simbol untuk mengingati Allah terhadap segala rezeki yang dianugerahkan kepada hamba-Nya. Binatang ternakan itu adalah simbol hasil ekonomi di Tanah Arab pada zaman Rasulullah s.a.w. Hakikatnya, ia telah berubah dan kehidupan moden kini menunjukkan penghasilan atau sumber-sumber ekonomi yang meluas.

Ia meliputi bidang pertanian, perindustrian, menikmati gaji atau upah di kalangan para pekerja swasta, juga kerajaan, selain untuk dinikmati oleh mereka sendiri dan menberinya kepada mereka yang miskin yang memerlukan bantuan. Daripada hasil usaha seseorang itu, ada hak Allah yang harus diberikan kepada mereka yang memerlukannya. Ia bukan sekadar manfaat untuk dunia dan akhirat, malahan Sayyid Qutb menjelaskan manfaatnya itu lebih jauh dan luas lagi.

Beliau menjelaskan tentang keuntungan yang diperoleh orang yang mengerjakan haji seumpama satu muktamar, tempat pertemuan dan saling kenal-mengenali. Ia adalah kewajipan di mana dunia dan akhirat bertemu, seperti bertemunya kenang-kenangan akidah masa lalu dan masa sekarang. Di musim mereka membawa segala barang-barang perdagangan dan terhimpun semuanya di sini dalam satu musim.

Tidak ada larangan untuk berdagang sambil mencari kurniaan Allah. Tetapi bukan bentuk perdagangan yang boleh merosakkan ibadah haji. Ia perlu disesuaikan dengan tuntutan agama yang suci – satu urusan perdagangan yang halal, tanpa riba dan penipuan. Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Sebelumnya ada di antara kamu yang berasa bersalah jika melakukan perniagaan dan mencari rezeki pada musim haji. Sebenarnya, kamu tidak berdosa melakukan hal itu. Maka, berniagalah dengan cara-cara yang disyariatkan, carilah kurniaan dan nikmat Allah.” (Surah Al-Baqarah: 197)

Inilah makna terbesar yang dilambangkan melalui ibadah haji. Manakala manfaat akhirat yang diperoleh daripada orang yang mengerjakan haji melalui ibadah khusus. Sesungguhnya, ibadat haji memberi makna yang cukup besar di dalam kehidupan seseorang Muslim. Di samping sebagai tanda pengabdian terhadap Allah s.w.t dengan menunaikan salah satu Rukun Islam yang lima itu, ia juga menjadi cermin pembangunan peradaban manusia.

Catatan: Abu Fattah

Ibadah Haji Bangunkan Peradaban Umat Islam