Inisiatif Kerajaan Arab Saudi menubuhkan dua pusat anti-terorisme secara serentak baru-baru ini menandakan perubahan sikap dan juga penerimaan terhadap peranan yang dimainkan oleh negara tersebut dalam kemunculan radikalisme, ekstremisme dan terorisme di dunia hari ini. Dengan kerjasama Kerajaan Amerika Syarikat, Arab Saudi menubuhkan Global Center for Combating Extremist Ideology (GCCEI) atau Pusat Global bagi Memerangi Ideologi Ekstremis berpengkalan di Riyadh manakala dengan kerjasama Kerajaan Malaysia, Arab Saudi menubuhkan King Salman Centre for International Peace (KSCIP) atau Pusat Raja Salman bagi Keamanan Antarabangsa berpengkalan di Putrajaya. Meskipun kedua-dua Pusat anti-terorisme ini belum lagi berfungsi seperti mana yang dihajati, hasrat penubuhan dua Pusat anti-terorisme ini anjuran Kerajaan Arab Saudi ini jelas menggambarkan kesedaran baru Kerajaan Arab Saudi untuk memainkan peranan lebih pro-aktif dalam usaha membasmi radikalisme, ekstremisme dan terorisme atas nama Islam.

Rentetan dari penubuhan GCCEI yang dirasmikan ketika Presiden Donald Trump melawat Arab Saudi beberapa bulan dahulu, Rex Tillerson selaku Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika menjawab soalan-soalan dalam Dewan Senat disana menjelaskan bagaimana Amerika Syarikat telah terlibat secara langsung memantau penerbitan buku-buku baru mengenai Islam yang tidak lagi mengandungi unsur-unsur melampau Salafiyyah-Wahhabiyyah. Disamping itu juga Amerika Syarikat juga akan memastikan Arab Saudi menarik kembali buku-buku yang telah mereka terbitkan sebelum ini yang mengandungi unsur-unsur melampau Salafiyyah-Wahhabiyyah. Melalui GCCEI, Amerika Syarikat turut terlibat secara langsung bagi mengatur strategi dan kaedah bagi memantau eksport fahaman Salafiyyah-Wahhabiyyah ke seluruh dunia. Pengesahan dan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat ini juga membayangkan betapa Arab Saudi mula mengambil berat usaha-usaha membasmi radikalisme, ekstremisme dan terorisme yang secara langsung dan tidak langsung dikaitkan dengan negara tersebut.

Dan yang terkini, Raja Salman telah mengeluarkan dekri atau Perintah DiRaja bagi membenarkan kaum wanita Arab Saudi menjelang pertengahan tahun hadapan. Kebenaran untuk kaum wanita memandu adalah sebahagian dari peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah Arab Saudi bagaimana sesuatu hukum itu diputuskan setelah mendapat tentangan dari para ulama Wahhabi yang masih mendominasikan hal-ehwal agama Islam disana. Dahulu ketika Negara Saudi baru-baru ditubuhkan misalnya, para ulama Wahhabi mengharamkan bagi putera-putera Raja Saudi untuk keluar melawat negara Barat kerana negara Tanah Orang Kafir. Begitu juga tentang pengharaman pengunaan telefon dan TV ketika mula-mula diperkenalkan di negara tersebut. Tarik-tali antara golongan Istana Keluarga Al-Saud, waris-waris Muhammad bin Saud pengasas Arab Saudi dan kelompok Agama Keluarga Al-Shaykh, waris-waris Muhammad bin Abdul Wahhab pengasas Wahhabi merupakan sejarah panjang pakatan politik-agama yang membentuk peranan, fahaman dan pengaruh negara Arab Saudi dalam dunia umat Islam sehingga ke hari ini khususnya pada Abad ke 20.

Perkembangan yang berlaku di Arab Saudi kini terutamanya selepas perlantikan Raja Salman sebagai Raja Arab Saudi yang kemudiannya melantik Putera baginda Putera Mohamad bin Salman sebagai Putera Mahkota dan Menteri Pertahanan menyaksikan bagaimana Arab Saudi secara agresif memposisikan diri mereka dalam percaturan geo-politik Timur-Tengah misalnya dengan lebih mendekati Amerika Syarikat dan Israel, mendokong sepenuhnya Presiden Sisi Mesir, menyerang Yemen, berkonfrontasi dengan Iran, membantu gerila Salafi-Jihadi menggulingkan Kerajaan Syria, memboikot Qatar serta mengharamkan Ihkwan al-Muslimun dan terbaru menangkap lebih 20 orang sarjana dan pendakwah terkenal yang dikatakan bersikap kritis terhadap kerajaan. Pelbagai peristiwa yang pesat tetapi mengundang masalah yang sedang berlaku dan dicetuskan oleh Golongan Istana Kerajaan Arab Saudi ini sudah tentu juga mempengaruhi sikap dan pandangan Golongan Agama Keturunan Al-Shaykh yang menjadi tunggak dan tunjang ajaran Salafiyyah-Wahhabiyyah.

Sementara dunia secara umum dan dunia Islam khususnya memerhatikan pelbagai perubahan di Arab Saudi, sangatlah mustahak untuk kita memikir, merancang dan menyediakan dunia Islam baru Abad ke 21 Pasca-Salafiyyah-Wahhabiyah memandangkan betapa kelompok ulama pendokong Salafiyyah-Wahhabiyyah Arab Saudi sendiri sedang berdepan dengan pelbagai cadangan perubahan yang mereka tidak boleh bendung dan sekat dari golongan Istana. Penubuhan GCCEI dan KSCIP, pemantauan Amerika Syarikat terhadap bahan-bahan agama yang cenderung kearah radikalisme, ekstremisme dan terorisme juga kebenaran memandu bagi wanita adalah sebahagian dari senarai perkara yang akan terus dihadapi oleh golongan Agama atau ulama Salafiyyah-Wahhabiyyah Arab Saudi dalam menghadapi cabaran Abad ke 21 yang lebih mencabar seperti sains, teknologi, liberalism, atheisme, kebebasan, hak asasi manusia dan seumpamanya.

Setelah beberapa tahun ini kita menyaksikan bagaimana fenomena “Arab Spring” bertukar menjadi “Arab Slaughtering” yang mengakibatkan kemusnahan dan kematian di Yemen, Iraq, Libya dan Syria, Umat Islam secara khususnya dan umat manusia secara umumnya mestilah disediakan ke arah dunia Islam yang tidak lagi berpaksi ke Timur Tengah yang rata-rata dipengaruhi dengan fahaman Salafiyyah-Wahhabiyyah sejak 100 tahun yang lalu yang berpusat di Arab Saudi. Misalnya sebelum Pemberontakan Arab akhir abad ke 19, Paksi Dunia Islam masih lagi di Istanbul di bawah Empayar Khilafah Uthmaniyyah sehinggalah Kuasa-Kuasa Barat melalui Perjanjian Sykes-Picot 1916 memfaraidkan wilayah tanah Arab kepada negara-negara baru dan “membebaskan” mereka dari Khilafah Uthmaniyyah. Selepas pemansuhan Khilafah Uthmaniyyah oleh Kuasa-Kuasa Barat, maka untuk hampir 100 tahun Paksi Dunia Islam berpindah dari Uthmaniyyah Turki kepada Timur-Tengah khususnya Arab Saudi terutamannya dengan penemuan Emas Hitam sebagai pemangkin dan pelincir Petro-Islam yang menyebarluaskan fahaman Salafiyyah-Wahhabiyyah keseluruh dunia Islam, Amerika, Eropah dan Australia.

Dalam konteks penyediaan Dunia Islam Pasca-Salafiyyah-Wahhabiyyah, Malaysia dan negara-negara rantau Nusantara khususnya Indonesia, Brunei dan Singapura, Negara Turki sendiri, negara-negara bekas Soviet Union di Asia Tengah seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan berupaya membina paksi-paksi baru Islam berdasarkan kefahaman Islam yang telah lama dan sedia ada sejak mereka memeluk agama Islam ratusan jika tidak lebih seribu tahun yang lalu. Paksi Nusantara, Paksi Turki dan Paksi Asia Tengah jelas mewakili kefahaman dan penghayatan Islam yang telah diadaptasi dan disebatikan dengan adat dan uruf tempatan dan yang lebih penting mewakili sebahagian besar dari keamanan Islam yang meskipun telah melalui tekanan dan penjajahan seperti Asia Tengah di bawah Komunis Soviet, Turki di bawah Regim Tentera dan Nusantara sendiri melalui penjajahan Barat.

Bagaimanapun yang paling menarik dan mencabar dalam penyediaan Dunia Islam Pasca-Salafiyyah-Wahhabiyyah ini, ketiga-tiga Paksi Nusantara, Turki dan Asia Tengah ini memiliki aliran akidah Asha’irah-Maturidiyyah yang sekian lama dianuti dan Mazhab-Mazhab Fekah yang diamali serta faham tasawuf serta amalan tarikat yang menjadi wilayah-wilayah di tiga paksi ini sangat terbuka keislamannya dari sudut penerimaan terhadap kebudayaan dan kepelbagaian tempatan. Ini jauh berbeza dengan pendekatan keislaman Timur Tengah khususnya di Arab Saudi yang golongan agama dan para ulamanya terpaksa menggeluti hatta persoalan sama ada kaum wanita dibenarkan memandu atau tidak. Lebih mendalam wilayah-wilayah di tiga paksi ini memiliki tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang subur dan tinggi yang sekadar memerlukan sedikit masa untuk disegar dan dibugarkan semula dalam Era Dunia Islam Pasca-Salafiyyah-Wahhabiyyah Abad ke 21 ini.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 25)

NN 25 :MENYEDIAKAN DUNIA ISLAM PASCA-SALAFIYYAH-WAHHABIYYAH: MEMAHAMI PERUBAHAN TERKINI KERAJAAN ARAB SAUDI