Ayat pertama yang turun berkaitan perintah supaya menzahirkan dakwah ialah:

 

 

 

Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

(Al-Shu’ara’: 214)

Ayat di atas terkandung dalam surah Al-Shu’ara’. Pada permulaan surah ini menyebut mengenai kisah Nabi Musa a.s sejak mula kenabiannya hinggalah baginda berhijrah bersama-sama Bani Israel. Seterusnya, disebut mengenai peristiwa mereka terselamat daripada kejahatan Firaun dan kaumnya, sementara Firaun dan kaumnya tenggelam di dalam laut. Kisah ini merangkumi semua peringkat yang dilalui oleh Nabi Musa a.s dalam usaha baginda menyampaikan dakwah kepada Firaun dan kaumnya supaya mengikut jalan Allah.

Penulis berpendapat bahawa kisah yang panjang lebar ini diturunkan ketika Rasulullah SAW diperintah untuk menyampaikan dakwah kepada kaumnya dengan tujuan supaya Rasulullah SAW dan para sahabat mempunyai satu model dan contoh mengenai apa yang bakal mereka hadapi apabila mereka menyampaikan dakwah secara terbuka nanti, seperti pendustaan dan penindasan. Ia juga bertujuan supaya mereka sedar dan benar-benar memahami mengenai selok-belok urusan mereka sejak dakwah mula dilancarkan.

Surah ini juga merangkumi penerangan mengenai kesudahan yang menimpa orang yang mendustakan para rasul seperti yang berlaku kepada kaum Nuh, Ad, Thamud, kaum Nabi Ibrahim, kaum Lut dan penduduk Aykah. Kisah-kisah ini adalah sebagai tambahan kepada kisah Firaun dan kaumnya. Tujuannya ialah supaya mereka yang berdegil menolak ajaran Islam faham akan nasib yang bakal menimpa mereka serta hukuman-hukuman yang Allah berikan jika mereka terus-menerus mendustakan ayat-ayat Allah. Ia juga bertujuan supaya orang mukmin tahu bahawa kesudahan yang baik itu adalah untuk mereka dan bukan untuk golongan pendusta.

Berdakwah kepada kaum kerabat

Langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas turunnya ayat ini ialah memanggil Bani Hashim. Lalu, Bani Hashim pun datang. Bersama-sama mereka, turut serta beberapa orang daripada Bani al-Muttalib bin Abd Manaf. Mereka yang datang itu adalah seramai 45 orang. Sebelum Rasulullah SAW memulakan bicara, Abu Lahab terlebih dahulu berucap, “Mereka ini adalah bapa-bapa saudara kamu serta sepupu-sepupu kamu; tinggallah mereka yang masih kecil. Ketahuilah, bukan semua kaum kamu di Tanah Arab ini yang terdaya untuk datang. Aku lebih patut mendengar daripadamu. Cukuplah engkau cakapkan kepada anak cucu datuk nenekmu. Kalau engkau buat begitu, maka ia adalah lebih mudah bagi mereka daripada memaksa seluruh anak-pinak Quraisy dan orang Arab lain datang untuk mendengar daripadamu. Aku lihat tidak seorang pun yang membawa adik-beradiknya seperti yang aku bawa ini.” Lalu, Rasulullah SAW terdiam dan tidak bercakap dalam majlis itu.

Kemudian, Rasulullah SAW memanggil mereka buat kali yang kedua. Dalam pertemuan kedua ini, Rasulullah SAW berucap, “Segala puji bagi Allah, aku memuji-Nya dan meminta pertolongan-Nya; aku beriman dengan-Nya dan aku berserah kepada-Nya. Aku mempersaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya.”

Kemudian Rasulullah SAW meneruskan, “Sesungguhnya orang yang merintis jalan ini tidak pernah dituduh berbohong oleh keluarganya. Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada kamu khususnya, dan kepada seluruh manusia, amnya. Demi Allah, kamu pasti akan mati sebagaimana kamu pastinya akan tidur, dan kamu pasti akan dibangkitkan sebagaimana kamu jaga dari tidur, dan pastinya kamu akan dihisab atas apa yang kamu kerjakan. Balasannya hanyalah syurga selama-lamanya atau neraka selama-lamanya.” Lalu, berkatalah Abu Talib, “Sungguh kami suka untuk membantumu dan menerima nasihatmu serta sangat mempercayai berita yang engkau sampaikan. Mereka ini ialah adik-beradikmu yang sedang berkumpul, sementara aku hanyalah salah seorang dari mereka. Akan tetapi akulah orang yang paling segera menyahut apa yang engkau suka. Maka, buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan mempertahankan kamu. Akan tetapi, diriku sendiri belum terasa untuk meninggalkan agama Abd al-Muttalib.”

Kemudian Abu Lahab pula berkata, “Demi Allah, ini adalah keburukan. Halanglah dia sebelum dia mempengaruhi orang lain daripada kamu.” Lalu, Abu Talib berkata, “Demi Allah, kami akan mempertahankannya selagi hayat masih ada.”[i]

 Di atas Bukit Safa

Setelah Nabi Muhammad SAW yakin bahawa Abu Talib bersungguh-sungguh berjanji akan melindunginya sepanjang usaha Baginda SAW menyampaikan risalah Allah, maka pada suatu hari, Rasulullah SAW berdiri di atas Bukit Safa lalu berkata dengan lantang, “Hai, sekalian manusia!” Maka, berkumpullah semua anak-pinak Quraisy. Lalu, Rasulullah SAW pun menyeru mereka kepada tauhid dan supaya beriman dengan risalah yang dibawanya dan dengan Hari Akhirat.

Al-Bukhari meriwayatkan sebahagian kisah ini daripada Ibn Abbas, katanya, “Apabila turunnya ayat “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat” (maksud al-Quran, surah Al-Shu’ara: 214), maka, Nabi pun nak ke atas Bukit Safa lalu menyeru, ‘Hai, Bani Fihr! Hai, Bani Adiy!’ iaitu anak-pinak Quraisy, sehingga mereka pun berkumpul. Ada orang yang jika tidak mampu keluar, mengutuskan utusan untuk melihat gerangan apa yang akan disampaikan. Datanglah Abu Lahab bersama-sama orang Quraisy yang lain. Kemudian Rasulullah SAW berkata, ‘Apa pandangan kamu kalau aku beritahu kamu bahawa di sebalik lembah ini ada angkatan berkuda yang hendak menyerang kamu. Apakah kamu percaya kepadaku?’ Serentak mereka menjawab, ‘Ya, kerana kami tidak pernah dapati pada engkau kecuali yang benar.’ Kata Rasulullah SAW lagi, ‘Sesungguhnya aku ini adalah seorang pemberi peringatan tentang azab yang dahsyat di hadapan kamu.’ Lantas, Abu Lahab berkata, ‘Celaka engkau seluruh hari ini! Adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?’ Kemudian, turunlah ayat al-Quran:

 

 

 

Maksudnya: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan sesungguhnya dia akan binasa!”

(Al-Masad:1)

Muslim pula meriwayatkan sebahagian yang lain daripada kisah ini yang bersumber daripada Abu Hurairah r.a, katanya, “Apabila turunnya ayat 214 surah Al-Shu’ara’ (“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”), Rasulullah SAW memanggil mereka lalu disebutkan nama secara umum dan khusus. Rasulullah SAW berkata, “Hai, semua orang Quraisy! Selamatkan dirimu dari api neraka! Hai, sekalian Bani Kaab, selamatkan dirimu dari api neraka! Hai, Fatimah binti Muhammad! Selamatkan dirimu dari api neraka! Sesungguhnya demi Allah, aku tidak memiliki sebarang kuasa untuk membelamu dari hukuman Allah melainkan kamu mempunyai tali persaudaraan (Islam) yang akan aku kuatkan hubungan itu.”[ii]

Seruan ini adalah kemuncak seruan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menjelaskan kepada manusia yang paling hampir dengannya bahawa hanya dengan mempercayai kerasulan Baginda SAW akan menghidupkan perhubungan antara Baginda dengan mereka. Ketaksuban terhadap kaum kerabat yang menjadi dasar pegangan orang Arab akan hancur luluh dengan peringatan daripada Allah ini.

Dakwah secara terbuka dan tindak balas orang musyirikin

Ketika seruan Rasulullah SAW itu masih terngiang-ngiang di segenap pelosok Makkah, turunlah firman Allah:

 

 

Maksudnya, “Oleh itu, sampaikan secara terus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.

(Al-Hijr: 94)

Dengan turunnya ayat ini, Rasulullah SAW terus mengecam ajaran-ajaran khurafat berbentuk syirik serta kepalsuan-kepalsuannya. Rasulullah SAW menerangkan keadaan sebenar berhala-berhala yang sedikit pun tidak mengandungi sebarang nilai. Banyak contoh yang dikemukakan untuk menunjukkan bahawa berhala-berhala itu sebenarnya lemah dan tidak berupaya apa-apa. Rasulullah SAW menerangkan dengan bukti-bukti yang nyata bahawa sesiapa yang menyembah berhala dan menjadikannya sebagai perantaraan dengan Allah, maka orang itu berada dalam kesesatan yang nyata.

Dengan penerangan itu, Makkah mula diledaki api kemarahan. Rasa jengkel dan bantahan membuak dalam kalangan mereka apabila mendengar seruan Rasulullah SAW yang sekali gus secara terbuka menuduh orang musyrik dan penyembah-penyembah berhala sebagai sesat. Ia bagaikan halilintar yang memanah awan mendung lalu berdentumlah guruh dan kilat; bergoncanglah suasana yang selama ini damai dan tenteram. Orang Quraisy bingkas bangun untuk mengekang kemaraan suatu perubahan yang tiba-tiba sahaja tercetus. Mereka bimbang perkara ini akan mengganggu tradisi-tradisi mereka dan apa yang mereka pusakai dari dahulu.

Mereka bangun menentang kerana mereka sebenarnya faham erti iman yang menolak adanya tuhan-tuhan selain Allah. Mereka faham erti beriman dengan kerasulan dan Hari Kiamat, iaitu pergantungan bulat-bulat dan penyerahan secara menyeluruh di mana mereka tidak akan ada pilihan lagi untuk menentukan apa-apa yeng berkaitan dengan diri dan harta mereka, apatah lagi yang berkaitan dengan orang lain. Ini bererti hilanglah hak ketuanan dan kebesaran mereka sebagai pemimpin agama ke atas orang Arab lain; ini bermakna bahawa mereka tidak dapat lagi melakukan apa yang mereka suka melainkan terpaksa mengikut apa yang diredai Allah dan Rasul-Nya.

Mereka tidak boleh lagi berbuat kezaliman yang selama ini dilakukan terhadap golongan bawahan. Mereka tidak boleh lagi melakukan kejahatan-kejahatan yang selama ini dikerjakan siang dan malam. Mereka benar-benar memahami akan maksud iman ini, maka itulah jiwa mereka enggan menerima seruan yang merugikan mereka itu. Keengganan mereka bukannya atas sebab kemuliaan dan kebaikan tetapi hanyalah kerana seperti firman Allah:

 

 

 

Maksudnya: “(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya sehingga dia tidak mengakui adanya Hari Kiamat.

(Al-Qiyamah: 5)

Semua itu mereka faham benar. Namun, apa yang akan mereka lakukan untuk menghadapi seorang lelaki yang benar dan dipercayai, seorang yang paling dicontohi membawa nilai-nilai kemanusiaan dan kemuliaan akhlak yang tidak pernah mereka temui tolok bandingnya sepanjang sejarah nenek moyang dan kaum mereka. Apakah yang patut mereka lakukan? Jelas, mereka kebingungan menghadapi kemelut ini, dan patut benarlah mereka berada dalam kebingungan.

Setelah puas befikir, dan mereka masih lagi buntu mendapatkan penyelesaian melainkan terpaksa datang kepada bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Talib. Mereka meminta beliau supaya menghalang anak saudaranya itu dari meneruskan kerja-kerja yang sedang dilakukannya. Sebagai menguatkan alasan dan supaya benar-benar menampakkan kesungguhan mereka dalam perkara ini, mereka berkata, “Sesungguhnya seruan supaya meninggalkan tuhan-tuhan mereka dan menuduh tuhan-tuhan itu tidak berguna dan tidak berkuasa adalah satu kutukan dan penghinaan yang hebat. Tuduhan itu memperbodoh dan menyesatkan nenek moyang mereka yang turun-temurun berpegang dengan agama kita!” Demikianlah buah fikiran mereka untuk disampaikan kepada Abu Talib sebagai usaha untuk menghalang usaha dakwah Rasulullah SAW, dan segera mereka jalankan usaha mereka itu.

Rombongan Quraisy berjumpa Abu Talib

Ibn Ishaq berkata, “Beberapa orang lelaki ternama dari kalangan Quraisy pergi berjumpa Abu Talib. Mereka berkata, ‘Wahai Abu Talib, sesungguhnya anak saudaramu telah mengutuk tuhan-tuhan kita, mengaibkan agama kita, memperbodohkan akal fikiran kita dan menuduh sesat nenek moyang kita. Oleh itu, hendaklah kamu halang dia atau biar kami menyelesaikan masalah ini antara kami dan dia. Kamu juga seperti kami yang tidak sama pegangan dengannya. Justeru, biarlah kami menyelesaikannya.’ Abu Talib menjawab dengan suara yang lemah lembut dan menolak cadangan mereka itu dengan baik. Lalu, mereka pun beredar, dan Rasulullah SAW terus menjalankan peranannya menzahirkan agama Allah dan menyeru ke jalan-Nya.”[iii]

(BERSAMBUNG – MENGHALANG JEMAAH MENDENGAR DAKWAH)

[i]   Ibn al-Athhir: Fiqh al-Sirah, h.77, 78.

[ii]   Sahih Muslim, 1/114; Sahih al-Bukhari, 1/385, 2/702; Mishkah al-Masabih, 2/460.

[iii] Ibn Hisham, 1/265.

BAB 11: PERINGKAT KEDUA: DAKWAH TERBUKA