PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) merupakan sebuah   pertubuhan yang bebas dan berdiri sendiri. OMIW ditubuhkan ke arah memakmurkan kearifan Islam menerusi percambahan dan penghayatan ilmu-ilmu Islam dalam kalangan umat Islam. Pendekatan kearifan Islam penting diketengahkan sebagai suatu tahap pencapaian tertinggi keilmuan dan ruhani manusia dalam menjalani kehidupan di dunia dan   mencapai keredaan Allah SWT sebagai tujuan akhir di akhirat kelak.

Islam merupakan agama yang diturunkan dengan misi untuk mencerahkan ummat manusia sekaligus sebagai agama penyatuan dan   perpaduan tanpa dibatasi oleh perbezaan etnik, lokaliti dan keturunan. Islam telah lama memperkenal dan mempraktikan konsep kearifan Islam   dalam setiap aspek kehidupan seorang Muslim. Prinsip-prinsip kearifan diterapkan kepada individu, keluarga,   masyarakat, bangsa dan negara yang seterusnya akan menghasilkan satu tamadun. Justeru, seorang Muslim dapat dibina sebagai seorang yang seimbang dari semua sudut dengan perspektif kearifan Islam.

Demi mencapai kesatuan ummah, OMIW berhasrat   untuk mencari titik-titik persamaan kerana usaha mencari persamaan lebih mulia dan utama. OMIW ingin mengarus perdanakan nilai-nilai persamaan dengan   mengutamakan keharmonian dan toleransi antara agama di samping membina ilmu serta kerangka pemikiran dalam masyarakat Islam.